Tuesday, 20 October 2009

Artikel 1

Oleh Wan Nur Faizah bt Ismail

Penerapan budaya penyayang kanak-kanak prasekolah adalah sesuatu yang penting bagi memupuk nilai dan keperibadian yang murni dalam diri mereka. Menurut Krogh, S.A, (1990), guru sebagai fasilitator sentiasa berusaha memikirkan bagaimanakah cara untuk memilih kaedah dan teknik pengajaran yang pelbagai. Kekurangan yang ada pada pelajar itu menjadi manifestasi utama untuk dikembangkan. Penekanan kepada perasaan dan pemikiran pelajar daripada pengetahuan dan pencapaian akademik adalah lebih diutamakan. Motivasi intrinsik yang tinggi dan rangsangan yang berterusan seperti memujuk, memberi perhatian dan kata-kata semangat perlu diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh, aktiviti seperti membina lego ini, boleh dibuat dalam bentuk kumpulan dan membina satu model berdasarkan arahan dari guru. Guru dan pembantu perlu membimbing Alyani dan Diana supaya dapat bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain. Apabila kesepakatan ini tercapai, pujian dan senyuman serta ucapan penghargaan diberikan kepada mereka. Ganjaran ini menjelaskan kepada mereka bahawa nilai-nilai kendiri yang ditunjukkan mereka itu dihargai dan disukai.

Guru menjadi pengurus yang menguruskan keperluan dan sentiasa peka dengan keperluan murid-murid terutamanya dalam penyediaan bahan permainan. Dalam proses menyediakan bahan permainan, kepelbagaian dan fleksibiliti adalah menjadi keutamaan. Melalui bermain murid dapat menjalin hubungan dua hala dan pelbagai hala. Alyani dan Diana mempunyai sifat egosentrik yang tinggi kerana tidak dapat memahami antara satu sama lain. Oleh yang demikian, guru perlu sentiasa menerapkan perasaan menghormati hak orang lain, memahami orang lain selain diri sendiri, bermain bersama-sama dan membentuk kumpulan dengan sendirinya terbit rasa kasih sayang serta suasana yang kondusif dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran

Strategi dalam menghadapi masalah kedua-dua murid ini perlu ditangani dengan bijak dan penuh sifat penyayang sebagaimana yang kita ingini dari murid-murid. Berdasarkan Model Glasser, murid-murid perlu mempunyai pilihan yang baik, memenuhi keperluan dimiliki, kebebasan dan gembira. Memberi peluang dengan mengemukakan pendapat dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi. Memahami dan mengambil kira pandangan mereka memudahkan guru menyemai perasaan sayang dan menyuburkan perasaan itu dalam diri mereka. Sebagai contoh, melalui perbincangan dalam kelas, murid-murid sepakat untuk bermain lego jadi, peneguhan negatif dapat diberikan untuk mendapat tingkahlaku positif dari murid-murid. Guru meminta supaya mereka bermain lego bersama-sama, tidak berebut dan tidak mengganggu rakan-rakan. Sekiranya melanggar arahan ini, mereka tidak dapat bermain lego lagi. Secara tidak langsung mereka gembira kerana kehendak mereka dituruti dan secara tidak langsung mereka berhasrat untuk tidak berebut, bertoleransi dan mereka akan sedaya upaya cuba untuk tidak menimbulkan kekecohan.

Teknik resolusi dan pengurusan konflik juga dapat membantu mereka untuk lebih bersifat penyayang. Guru boleh meminta Diana bertanya dahulu, “Bolehkah saya mengambil lego kamu?” dan guru meminta Alyani menyerahkan sedikit legonya kepada Diana. Guru juga boleh meminta Diana buat sesuatu yang lain untuk mengalih perhatiannya dari lego Alyani. Minta Diana membuat sesuatu seperti menunjukkan kad suai padan yang baru, memberi buku cerita dan sebagainya. Fahamkan Diana kepada konsep mengikut giliran, memberi hak kepada orang lain terlebih dahulu dan tidak terburu-buru. Alyani juga perlu diberi penjelasan paya bersikap lembut dan prihatin dengan kehendak rakan. Dalam setiap pengurusan konflik, guru jangan bersikap berat sebelah. Situasi menang-menang perlu ada di akhir penyelesaian masalah ini.

No comments:

Post a Comment